Menurut beliau, ketiga-tiga kes itu dikesan minggu lalu selepas keputusan ujian saringan kesihatan pesakit diperolehi pihaknya.

TAWAU: Tiga kes varian Delta dikesan masing-masing di Kalabakan dan Tawau, kata Pegawai Kesihatan Tawau, Dr G. Navindran.

Menurut beliau, ketiga-tiga kes itu dikesan minggu lalu selepas keputusan ujian saringan kesihatan pesakit diperolehi pihaknya.

Jelasnya, bagi kes varian Delta yang dikesan di Kalabakan ia melibatkan seorang pekerja sebuah ladang kelapa sawit dari Kluster Agathis.

Manakala kes di Tawau ialah melibatkan dua individu yang datang dari Kuala Lumpur untuk bertemu keluarga mereka di Tawau.

"Bagaimanapun, kes itu dapat diatasi memandangkan kesemua pesakit telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 dan kini disahkan sembuh," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Ditanya mengenai kontak rapat kepada ketiga-tiga kes itu, Dr Navidran menjelaskan pihaknya tidak mempunyai masalah sebaliknya berjaya mengawal penularan.

Malah, jelas beliau kesemua kontak rapat telah melalui fasa kuarantin dan disahkan pulih 100 peratus memandangkan mereka sudah mendapat vaksin.

Sehubungan dengan kehadiran varian Delta di daerah itu, Dr. Navindran menggesa semua penduduk tampil mengambil suntikan vaksin COVID-19 dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi keselamatan diri.

Untuk rekod sehingga Ahad, Pejabat Kesihatan Tawau telah mencatatkan lebih 160,000 daripada 390,000 penduduk yang layak divaksin telah menerima suntikan vaksin COVID-19 sekurang-kurangnya dos pertama.

Source: Astro Awani
  • Date Mon, 6 Sep 2021
  • Outbreak Covid-19
  • Category Sabah
  • View 908
Share