GAMBAR hiasan

Conakry: Seorang lelaki di Guinea, Afrika Barat yang disahkan maut akibat virus Marburg, dipercayai sudah menjangkitkan virus itu kepada 155 orang.

Virus berkenaan dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan sehingga menyebabkan kematian tragis kepada pengidapnya.

Ia pertama kali dikesan Afrika Barat dan dibimbangi akan merebak dengan meluas ke seluruh dunia, lapor The Sun.

Dalam pada itu, pakar kesihatan memberi amaran virus yang hampir sama dengan Ebola itu berbahaya dengan kadar 88 peratus kematian terhadap penghidapnya.

Virus berkenaan juga dikatakan mampu merebak dengan pantas dan meluas.

Pihak berkuasa di Guinea kini mengesan sama ada jangkitan kepada 155 orang yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan kes kematian, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pesakit lelaki itu meninggal dunia di tenggara Guinea iaitu kawasan yang menjadi pusat penularan Ebola di Afrika Barat pada 2014.

Wakil WHO di Guinea, Georges Ki-Zerbo berkata, setakat ini tiada lagi kes baharu virus Marburg, dilaporkan.

"Kontak rapat sudah dikesan dan 155 orang kini dalam pemantauan selama tiga minggu," katanya.

AFP sebelum ini melaporkan virus Marbug mempunyai kaitan dengan Ebola dan seperti Covid-19, ia disebarkan daripada haiwan kepada manusia.

Virus itu yang dibawa kelawar dan mempunyai kadar kematian sehingga 88 peratus ditemukan dalam sampel seorang pesakit yang meninggal dunia di wilayah Gueckedou pada 2 Ogos lalu.

Menurut WHO, virus itu dikaitkan dengan pendedahan terhadap gua atau lombong di mana terdapat kelawar Rousettus.

Apabila individu dijangkiti, ia akan menular mengikut cecair badan individu yang dijangkiti berkenaan, atau permukaan dan bahan yang tercemar dengan virus itu.

Source: Harian Metro
  • Date Fri, 13 Aug 2021
  • Outbreak Covid-19
  • Category World
  • View 2642
Share